Wednesday, October 13, 2010
Tuesday, October 12, 2010
Belian Balik Unit Amanah
“Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek, satu kesilapan yang dilakukan oleh para pelabur”
Banyak nasihat mengenai mengapa dan bila kita patut membeli saham amanah. Bagaimanapun dalam soal berhubung belian balik pula, untuk mendapat masa yang tepat dan sebab yang wajar untuk membuat demikian ternyata adalah satu tugas yang sukar. Saham amanah adalah instrumen yang terbaik bagi individu dan perancang kewangan korporat disebabkan harganya yang termampu, kecairan dan ia fleksibel. Bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang, saham amanah sememangnya pilihan yang menarik. Jika dipilih dengan dengan berhati-hati dan disokong dengan nasihat daripada pakar yang layak, saham amanah boleh memberikan anda pulangan yang lumayan pada paras risiko yang dapat diterima.
Bagaimanapun seperti mana-mana saham amanah lain, kita perlu mengikuti garis panduan tertentu yang wajar mengenai bila hendak memegang dan bila hendak melepaskannya. Nasihat yang paling biasa ialah bermula melabur dengan awal serta memberikan pelaburan anda masa yang mencukupi untuk mengaut keuntungan pulangannya. Tetapi bagaimana jika pasaran yang meruap menyebabkan anda mempertimbangkan untuk menukar dana ekuiti anda kepada dana bon dan pasaran wang? Keputusan yang anda buat bergantung kepada keadaan portfolio pelaburan, matlamat kewangan dan toleransi risiko anda. Bagaimanapun adalah penting untuk memastikan dulu sebab yang bijak dan kewajaran untuk berbuat demikian.
Berikut adalah antara isu-isu yang patut diambil kira apabila membuat keputusan untuk membuat belian balik pelaburan unit amanah.
· Prestasi Dana
Sebab paling biasa untuk membuat belian balik saham amanah ialah apabila dana merekodkan kerugian bagi pelabur. Namun begitu ramai palabur membuat kesilapan membuat belian balik disebabkan oleh prestasi buruk yang dicatatkan dalam jangka pendek. Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek adalah satu kesilapan kerana pelabur saham amanah dikehendaki mengambil pandangan berjangka sederhana hingga panjang untuk mengaut potensi sepenuhnya pelaburan mereka.
Jika prestasi dana anda terjejas oleh keadaan pasaran yang buruk, anda hendaklah tetap berfokus kepada prospek jangka panjang pelaburan anda dan menghindari daripada godaan untuk berasa cemas. Seorang pengurus dana telah berkata “Pelabur saham amanah patut sentiasa fokus kepada mencapai matlamat pelaburan mereka dalam tempoh sederhana hingga panjang, iaitu selama tiga hingga lima tahun dan bukannya bimbang mengenai pergerakan harian, mingguan atau bulanan pelaburan mereka.”
· Penyimpangan dalam Gaya atau Objektif Dana
Setelah membuat peruntukan aset yang terperinci secara berhati-hati, pelabur patut memilih dana yang paling sesuai dengan strategi mereka dengan mengambil kira objektif pulangan, jangka masa dan toleransi risiko. Membuat pilihan dana yang betul adalah penting kerana jika anda mengambil dana yang risikonya lebih banyak daripada yang apa yang mampu anda tanggung, anda mungkin terpaksa membuat belian balik dana dan membeli dana yang lebih sesuai
Selain itu jika dana menyimpang daripada objektif pelaburan atau gaya pelaburan asalnya, maka perubahan tersebut sudah pasti akan menjejaskan pelan peruntukan aset anda dan perlu dikaji semula. Dana yang mengubah objektif pelaburannya dengan ketara boleh menyebabkan prestasinya menyimpang daripada objektif dan risiko profil yang anda ingini. Justeru adalah penting untuk mengingati sebab asal anda membeli sesuatu dana itu.
Perubahan pengurus dana juga boleh menjadi sebab kepada perubahan gaya pelaburan. Bagaimanapun ia tidak memerlukan anda terus menjualnya. Sebaliknya apa yang lebih penting ialah memastikan pengurus dana yang baru itu mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menguruskan dana dengan objektif yang sama dan mengekalkan gaya pengurusan yang sama. Dana yang diuruskan oleh pasukan pengurusan yang stabil dan reputasi baik selalunya akan mematuhi objektif dan gaya pelaburannya.
· Sekiranya berlaku kecemasan
Oleh sebab saham amanah mudah dijual, pemegang unit boleh membuat belian balik kesemua atau sebahagian daripada unit mereka pada bila-bila masa hari perniagaan dan pengurus saham amanah akan membelinya.
Ini bermakna sekiranya anda memerlukan wang, anda boleh menjual pelaburan anda dengan mudah. Kebanyakan saham amanah akan membenarkan anda menebus pelaburan anda pada sebarang hari perniagaan yang ditetapkan. Bagaimanapun adalah penting untuk mencari alternatif lain kerana menebus dana boleh menyebabkan anda mengalami kerugian dalam jangka panjang – anda kehilangan manfaat pemurataan kos ringgit serta faedah atas pokok dan faedah terkumpul.
Bagi mereka yang benar-benar perlu menjual pelaburan mereka, pertimbangkan 'kaedah kos purata' yang berupa menjual secara berperingkat-peringkat. Pelabur yang keluar dari aset tertentu kemudiannya boleh perlahan-lahan beralih kepada tunai sebagai persediaan awal bagi menghadapi komitmen kewangan, misalnya perbelanjaan pendidikan. Pokok pangkalnya ialah jika anda bercadang untuk membuat belian balik dana anda, pertimbangkan dulu sebabnya dan pastikan ia berdasarkan pertimbangan yang bijak. Mengimbangkan semula portfolio anda berdasarkan keperluan atau situasi anda yang berubah sudah tentulah patut dibuat denngan kerap sekurang-kurangnya setahun sekali.
Jika anda merancang untuk membuat belian balik hanya kerana hendak bertukar kepada dana lain atau kerana bimbangkan keadaan pasaran, kawal dorongan hati anda dan ingat prinsip strategi peruntukan aset yang sesuai. Dana yang dipilih dengan bijak yang cukup pelbagai akan menolong anda mencapai matlamat pelaburan jangka panjang anda.
Monday, September 20, 2010
Jana Wang
Semoga ia dapat membuka minda anda tentang kuasa menjana wang dan seterusnya dapat mempraktikkannya di dalam hidup anda.
Jana Wang
Oleh : Rohaniza Idris (roha@bharian.com.my)
Sumber: bharian online 2010/07/24
Pelaburan Saham Amanah Jaminan Masa Depan Individu Dan Keluarga
SEBAIK mendengar perkataan saham amanah, pasti terbayang habuan ribuan ringgit yang boleh dimanfaatkan. Namun hakikatnya, dana saham amanah lebih daripada itu kerana selain pelaburan jangka sederhana dan panjang, ada yang turut menyifatkannya simpanan masa depan. Mengimbau sejarah dana amanah di negara ini, industri saham amanah bertapak di negara ini sejak 1959 lagi apabila pelabur Inggeris di Singapura menubuhkan Malayan Unit Trust Limited dan diikuti penubuhan dana saham amanah pertama di Malaysia, ‘Unit Trust Fund of Malaya.’ Pada 1966, Asia Unit Trust Limited pula ditubuhkan diikuti dengan penubuhan Amanah Saham Mara Berhad sebagai syarikat amanah saham pertama yang dimiliki Bumiputera dan ditubuhkan untuk Bumiputera dalam tahun 1967. Pada April 1968, dana saham amanah pertama untuk pelabur Bumiputera yang dikenali sebagai ‘First MARA Bumiputra Investment Fund,’ dilancarkan Amanah Saham Mara Berhad.
Lapan tahun kemudian pada 1976, Amanah Saham Pahang Berhad sudah ditubuhkan sebagai syarikat amanah saham negeri yang pertama dan pada 1981, Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan sebagai instrumen pasaran modal bagi meningkatkan taraf hidup dan penyertaan atau pemilikan ekuiti Bumiputera. ASN dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputera (ASB) membuka lembaran baru di dalam industri saham amanah di Malaysia. Masyarakat mula memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai kebaikan melabur di dalam saham amanah.
Bermula dari 1983, banyak institusi kewangan melancarkan produk saham amanah mereka dan industri ini terus berkembang dengan pesatnya selaras permintaan semasa orang ramai yang kian menyedari kepentingan pelaburan demi jaminan masa depan.
Apabila Garis Panduan Saham Amanah diperkenalkan dan berkuat kuasa Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 serta penubuhan Persekutuan Pengurus-Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM) sebagai badan-badan pengawas industri saham amanah pada 1990-an, maka industri saham amanah terus bertapak kukuh di negara ini. Dengan perkembangan sihat ini, pengetahuan masyarakat dalam pelaburan amanah saham turut juga berkembang dan kaedah pelaburan ini menjadi semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia. Masyarakat pelabur kini sudah semakin bijak menilai jenis pelaburan yang sesuai untuk mereka, lebih-lebih lagi pihak kerajaan amat menggalakkannya supaya lebih banyak dana saham amanah dibentuk. Pada masa sama, lebih banyak pilihan pelaburan ditawar kepada masyarakat selain melabur terus ke dalam pasaran saham.
Namun, pelaburan saham amanah ini ada kelebihannya tersendiri jika dibandingkan dengan melabur terus ke dalam pasaran saham. Ia secara tidak langsung berkaitan pelaburan berisiko rendah dan cara yang selamat bagi mereka yang merancang untuk melabur dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.Apakah yang dimaksudkan dengan dana amanah? Saham amanah adalah antara alternatif pelaburan terbaik terutama apabila matlamat pelaburan bagi kegunaan jangka masa sederhana (tiga ke lima tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun).
Ini disebabkan saham amanah berisiko rendah yang diurus oleh pengurus dana profesional, dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan badan pemegang amanah seperti Amanah Raya Berhad dan industri ini dipantau oleh Bank Negara Malaysia.
Risikonya tinggi apabila pelabur tidak mempunyai masa (kurang daripada tiga tahun) kerana secara umumnya kitaran pasaran saham (merudum dan meningkat) mengambil masa antara dua ke tiga tahun untuk pulih. Jika pelabur mempunyai tempoh berkenaan, pelaburan saham amanah ini tidak berisiko langsung! Saham amanah bukanlah skim cepat kaya (seperti diharamkan kerajaan), tetapi ia adalah satu pelaburan sah dari segi undang-undang. Malah perunding saham amanah perlu menduduki peperiksaan khas oleh badan induk industri ini, Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FUMTM) sebelum boleh menawarkan perkhidmatan ini. Dana amanah ini dikumpulkan secara kelompok menerusi penggemblengan modal individu ataupun syarikat ini dan dilaburkan pengurus dana dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk bon dan instrumen pasaran kewangan lain.
Saham amanah ini berbeza pelaburan pasaran saham biasa kerana dengan kadar minimum RM100, individu boleh membuat pelaburan sedangkan jika mereka membuat pelaburan pasaran saham biasa, individu berkenaan memerlukan modal agak besar bagi membeli saham di bursa saham. Peluang pertumbuhan dalam saham amanah ini juga jauh lebih besar dengan purata pulangan antara 10 hingga 15 peratus setahun bergantung kepada jenis dana pelaburan dipilih. Jika disimpan dalam akaun simpanan biasa ataupun simpanan tetap pulangannya antara satu ke tiga peratus dan pulangan yang rendah ini mudah terhakis oleh kesan inflasi dan cukai.
Sebilangan jenis saham amanah, modal pelabur kekal terjamin yang terikat tempoh tertentu, manakala ada dana memberi pulangan berganda menerusi tiga cabang pulangan iaitu keuntungan atas modal, dividen dan juga bonus. Kelebihan dana amanah ini adalah ia mempunyai kecairan yang tinggi, yang mana pelaburan ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa diperlukan.
Rancang persaraan ketika muda
SAAT persaraan sememangnya ditunggu setiap pekerja. Malah sudah banyak yang direncanakan untuk waktu berkenaan seperti bercuti, menunaikan ibadat haji atau melakukan hobi yang sebelum ini terpaksa dipendam dan ditunda dek kekangan masa serta kesibukan tugas.
Namun, ramai yang lupa perancangan kewangan selepas bersara kerana beranggapan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah mencukupi.
Apakah benar persepsi sedemikian?
Hakikatnya, ia tidak sebegitu terutama bagi mereka yang bekerja sendiri atau tidak berpendapatan tetap. Justeru, persaraan yang dilalui tanpa persediaan sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada yang terpaksa bergantung harap kepada anak dewasa. Berdasarkan senario sedemikian, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa saranan seperti yang dimuatkan dalam buku panduannya. ACCA menyifatkan amat penting bagi seseorang itu merancang persaraan seandainya mahu hidup selesa dan teguh kewangan apabila tiba usia emas. Ada beberapa langkah mudah perancangan persaraan yang boleh dilakukan sendiri seperti menentukan perbelanjaan diperlukan sewaktu persaraan, jumlah harta atau wang dimiliki sekarang serta apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan.
Semua persoalan berkenaan memerlukan pemikiran dan perancangan bersungguh-sungguh kerana jumlah wang diperlukan ketika persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang diinginkan. Misalnya, andai kata, anda merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar. Sebelum memenuhi sebarang hajat, anda harus lihat dan teliti perbelanjaan semasa serta menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah ketika persaraan kelak. Umpamanya, anda boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan, tetapi anda mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan jatuh sakit meningkat selaras pertambahan usia. Secara alternatif, anda boleh membuat andaian bahawa anda hanya memerlukan 70 peratus hingga 80 peratus daripada perbelanjaan semasa sewaktu persaraan. Jadi, jika anda bersara pada usia 56, anda memerlukan simpanan sekurang-kurangnya tempoh 24 tahun berdasarkan faktor jangka hayat penduduk negara ini.
Ancaman paling besar memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Anda mungkin tidak memberi tumpuan terhadap inflasi ketika anda bekerja kerana pendapatan anda cenderung meningkat seiring dengannya. Bagaimanapun, apabila berhenti bekerja, pendapatan anda lebih kurang tetap dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar. Apabila sudah mengetahui inflasi boleh menjejaskan pendapatan ketika persaraan, maka langkah seterusnya yang boleh di ambil untuk memastikan jumlah dana yang boleh bertahan sehingga 24 tahun. Andaikan bahawa purata kadar pulangan ke atas pelaburan untuk 25 tahun akan datang ialah lapan peratus dan memandangkan kadar inflasi ialah lima peratus, maka kadar sebenar pulangan ke atas pelaburan ialah tiga peratus. Mencari jawapan ini agak rumit kerana anda perlu tahu nilai setiap pelaburan masa depan, termasuk KWSP, nilai tunai insurans, pelaburan syarikat yang melabur dan membayar dividen dan hartanah. Bagi rancangan persaraan, anda dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan dana saham amanah memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap.
Saham amanah adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudian dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko. Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain. Nyata sekali, anda perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan anda dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan anda.
Andai buntu, dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Kesimpulannya, lagi awal perancang persaraan dibuat maka lagi cerah masa depan persaraan anda.
INFO: Tip perancangan persaraan
Pertimbang persoalan penting seperti:
1. Tentukan perbelanjaan diperlukan sewaktu persaraan
2. Jumlah harta atau wang dimiliki sekarang.
3. Apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan.
Perancangan persaraan:
1.Dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan dana amanah yang hasilkan pulangan berbanding bentuk pelaburan lain seperti faedah akaun simpanan atau deposit tetap.
2. Pelaburan saham memberikan anda status pemilik dalam sesebuah syarikat yang dilabur. Jika syarikat itu berjaya, anda seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham itu. Anda juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.
3. Bon pula sebenarnya pinjaman perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan.
Pendapat Saya : Pengetahuan mengenai perancangan kewangan haruslah dipelajari oleh golongan-golongan muda. Akhbar telah melaporkan bahawa golongan muda ini terutamanya golongan muda yang baru bekerja banyak yang telah diisyatiharkan muflis. Ini kerana mereka tidak diajar di university atau di pusat pengajian tinggi mengenai pengurusan dan perancangan kewangan. Oleh sebab pengetahuan yang cetek mereka ini terjebak dengan masalah kewangan yang kronik seawal usia yang muda.
Perancangan kewangan adalah penting seperti yang ditulis oleh penulis di atas. Mulai sekarang anda haruslah beringat dan menetapkan matlamat kewangan anda. Biarlah kita bersusah-susah dahulu dan kemudian hari kita akan berbangga hasil daripada penat lelah kita dan seterusnya dapat mencapai kebebasan kewangan.