Perkara perlu ditimbangkan ketika membeli balik saham amanah
“Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek, satu kesilapan yang dilakukan oleh para pelabur”
Banyak nasihat mengenai mengapa dan bila kita patut membeli saham amanah. Bagaimanapun dalam soal berhubung belian balik pula, untuk mendapat masa yang tepat dan sebab yang wajar untuk membuat demikian ternyata adalah satu tugas yang sukar. Saham amanah adalah instrumen yang terbaik bagi individu dan perancang kewangan korporat disebabkan harganya yang termampu, kecairan dan ia fleksibel. Bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang, saham amanah sememangnya pilihan yang menarik. Jika dipilih dengan dengan berhati-hati dan disokong dengan nasihat daripada pakar yang layak, saham amanah boleh memberikan anda pulangan yang lumayan pada paras risiko yang dapat diterima.
Bagaimanapun seperti mana-mana saham amanah lain, kita perlu mengikuti garis panduan tertentu yang wajar mengenai bila hendak memegang dan bila hendak melepaskannya. Nasihat yang paling biasa ialah bermula melabur dengan awal serta memberikan pelaburan anda masa yang mencukupi untuk mengaut keuntungan pulangannya. Tetapi bagaimana jika pasaran yang meruap menyebabkan anda mempertimbangkan untuk menukar dana ekuiti anda kepada dana bon dan pasaran wang? Keputusan yang anda buat bergantung kepada keadaan portfolio pelaburan, matlamat kewangan dan toleransi risiko anda. Bagaimanapun adalah penting untuk memastikan dulu sebab yang bijak dan kewajaran untuk berbuat demikian.
Berikut adalah antara isu-isu yang patut diambil kira apabila membuat keputusan untuk membuat belian balik pelaburan unit amanah.
· Prestasi Dana
Sebab paling biasa untuk membuat belian balik saham amanah ialah apabila dana merekodkan kerugian bagi pelabur. Namun begitu ramai palabur membuat kesilapan membuat belian balik disebabkan oleh prestasi buruk yang dicatatkan dalam jangka pendek. Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek adalah satu kesilapan kerana pelabur saham amanah dikehendaki mengambil pandangan berjangka sederhana hingga panjang untuk mengaut potensi sepenuhnya pelaburan mereka.
Jika prestasi dana anda terjejas oleh keadaan pasaran yang buruk, anda hendaklah tetap berfokus kepada prospek jangka panjang pelaburan anda dan menghindari daripada godaan untuk berasa cemas. Seorang pengurus dana telah berkata “Pelabur saham amanah patut sentiasa fokus kepada mencapai matlamat pelaburan mereka dalam tempoh sederhana hingga panjang, iaitu selama tiga hingga lima tahun dan bukannya bimbang mengenai pergerakan harian, mingguan atau bulanan pelaburan mereka.”
· Penyimpangan dalam Gaya atau Objektif Dana
Setelah membuat peruntukan aset yang terperinci secara berhati-hati, pelabur patut memilih dana yang paling sesuai dengan strategi mereka dengan mengambil kira objektif pulangan, jangka masa dan toleransi risiko. Membuat pilihan dana yang betul adalah penting kerana jika anda mengambil dana yang risikonya lebih banyak daripada yang apa yang mampu anda tanggung, anda mungkin terpaksa membuat belian balik dana dan membeli dana yang lebih sesuai
Selain itu jika dana menyimpang daripada objektif pelaburan atau gaya pelaburan asalnya, maka perubahan tersebut sudah pasti akan menjejaskan pelan peruntukan aset anda dan perlu dikaji semula. Dana yang mengubah objektif pelaburannya dengan ketara boleh menyebabkan prestasinya menyimpang daripada objektif dan risiko profil yang anda ingini. Justeru adalah penting untuk mengingati sebab asal anda membeli sesuatu dana itu.
Perubahan pengurus dana juga boleh menjadi sebab kepada perubahan gaya pelaburan. Bagaimanapun ia tidak memerlukan anda terus menjualnya. Sebaliknya apa yang lebih penting ialah memastikan pengurus dana yang baru itu mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menguruskan dana dengan objektif yang sama dan mengekalkan gaya pengurusan yang sama. Dana yang diuruskan oleh pasukan pengurusan yang stabil dan reputasi baik selalunya akan mematuhi objektif dan gaya pelaburannya.
· Sekiranya berlaku kecemasan
Oleh sebab saham amanah mudah dijual, pemegang unit boleh membuat belian balik kesemua atau sebahagian daripada unit mereka pada bila-bila masa hari perniagaan dan pengurus saham amanah akan membelinya.
Ini bermakna sekiranya anda memerlukan wang, anda boleh menjual pelaburan anda dengan mudah. Kebanyakan saham amanah akan membenarkan anda menebus pelaburan anda pada sebarang hari perniagaan yang ditetapkan. Bagaimanapun adalah penting untuk mencari alternatif lain kerana menebus dana boleh menyebabkan anda mengalami kerugian dalam jangka panjang – anda kehilangan manfaat pemurataan kos ringgit serta faedah atas pokok dan faedah terkumpul.
Bagi mereka yang benar-benar perlu menjual pelaburan mereka, pertimbangkan 'kaedah kos purata' yang berupa menjual secara berperingkat-peringkat. Pelabur yang keluar dari aset tertentu kemudiannya boleh perlahan-lahan beralih kepada tunai sebagai persediaan awal bagi menghadapi komitmen kewangan, misalnya perbelanjaan pendidikan. Pokok pangkalnya ialah jika anda bercadang untuk membuat belian balik dana anda, pertimbangkan dulu sebabnya dan pastikan ia berdasarkan pertimbangan yang bijak. Mengimbangkan semula portfolio anda berdasarkan keperluan atau situasi anda yang berubah sudah tentulah patut dibuat denngan kerap sekurang-kurangnya setahun sekali.
Jika anda merancang untuk membuat belian balik hanya kerana hendak bertukar kepada dana lain atau kerana bimbangkan keadaan pasaran, kawal dorongan hati anda dan ingat prinsip strategi peruntukan aset yang sesuai. Dana yang dipilih dengan bijak yang cukup pelbagai akan menolong anda mencapai matlamat pelaburan jangka panjang anda.
Untuk maklumat lanjut mengenai Public Mutual dan siri dana-dana patuh Syariah sila hubungi saya ataupun tinggal pesanan anda diruangan sebelah.
Tel: 018-4749605
Email:adhasaipudin.utc@gmail.com