Wednesday, November 10, 2010

Lonjakan Bersejarah Bursa Saham Kuala Lumpur


Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menokok 6.69 mata kepada 1,526.53 berbanding 1,519.84, semalam.

Selepas meningkat selama enam minggu berturut-turut, FBM KLCI, semalam ditutup mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan pada Januari 2008 apabila mencecah paras 1,516 mata.

Pengarah Eksekutif Urusniaga Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli berkata, pasaran modal tempatan kini berada dalam dimensi baharu yang memungkinkan terciptanya satu penanda aras baharu.

"Paras hari ini menjadi persoalan kepada semua kerana ia merupakan satu persimpangan.

"Apakah ia akan terhenti di sekitar angka itu atau terus meningkat sekali gus mencipta satu penanda aras yang baharu kepada Bursa Malaysia?" katanya.

Beliau berpendapat, untuk tempoh terdekat, FBM KLCI masih mempunyai ruang meningkat lebih tinggi sekiranya semua faktor positif itu kekal berterusan.

Nazzary bagaimanapun berkata, sukar untuk diramalkan aliran berkenaan kerana persekitaran ekonomi global amat terdedah kepada sebarang kemungkinan.

"Saya menjangkakan ia mungkin mampu meningkat 50 mata lagi dalam tempoh terdekat, tetapi harus diingat iklim ekonomi Amerika Syarikat (AS) masih tidak menentu dan segala kemungkinan perlu diambil kira," katanya.

Beliau juga menambah, pengukuhan indeks utama juga tidak menyeluruh tetapi hanya bergantung kepada beberapa sektor terutama saham-saham mewah yang kukuh asasnya.

Selain itu, kata Nazzary, pengukuhan ringgit juga menjadi antara faktor peningkatan aliran dana ke Bursa Malaysia apabila pelabur asing menukar dolar AS kepada ringgit sebelum membeli saham terutama di kaunter-kaunter mewah.

"Mereka membuat keuntungan berganda apabila menukar dolar AS kepada ringgit yang semakin mengukuh dan kemudiannya melabur di dalam kaunter-kaunter mewah yang sekali gus meningkatkan harga saham tersebut," tambahnya.

Manakala aliran cergas penglibatan pelabur asing pula, dilihat hasil daripada langkah Rizab Persekutuan AS menyuntik dana bernilai AS$600 bilion bagi merangsang ekonomi Amerika Syarikat sekali gus meningkatkan kecairan di dalam pasaran.

"Lebihan kecairan mendorong pelabur mencari aset berkualiti terutama di pasaran yang sedang berkembang seperti Malaysia dan negara-negara serantau," kata Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng.

Beliau juga berpendapat, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif adalah hasil Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan.

''Ia menjadi menjadi faktor penyumbang ke arah peningkatan dana ke dalam Bursa Malaysia,'' kata Kim Leng lagi..

Sementara itu, Ketua Ekonomi Sime Darby Bhd., Azrul Azwa berkata, kadar faedah di negara ini yang lebih tinggi berbanding Eropah dan Amerika mendorong pelabur untuk memilih Malaysia selain prospek pertumbuhan yang menggalakkan.

"Kadar faedah yang tinggi di Malaysia membolehkan pelabur-pelabur ini mengaut keuntungan berbanding jika mereka melabur di Amerika dan Eropah," katanya.

No comments:

Link Exchange

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...