Monday, October 25, 2010

Salah Anggapan Mengenai Unit Amanah

Banyak rakan-rakan dan pelangan saya yang masih keliru dan salah anggap mengenai Unit Amanah ini. Setiap kali mereka bertanya dan setiap kali jugalah saya terangkan secara panjang lebar dan terperinci. Maka post kali ini saya akan terangkan mengenai beberapa salah anggapan mereka ini dan juga penerangan. Bacalah post ini seterusnya untuk mengetahui cerita sebenar di sebalik salah anggapan biasa dalam pelaburan unit amanah. Jika masih terkeliru anda bolehlah menghubungi saya untuk ke peringkat seterusnya……

1. Masa paling baik untuk melabur ialah ketika pengagihan dividen dan bonus hampir hendak diumumkan.

Tidak benar. Jika ejen unit amanah menasihatkan anda supaya melabur dalam unit amanah kerana bayaran dividen dan bonus akan dibayar tidak berapa lama lagi dan anda akan mendapat keuntungan segera, fikir baik-baik. Anda perlu mengetahui perkara yang terbabit dalam pengagihan bonus dan dividen unit amanah. Bonus akan meningkatkan jumlah unit dalam dana tersebut. Misalannya, pelaburan anda dalam suatu dana berharga RM1 satu unit dan anda melabur RM10,000 bagi 10,000 unit. Dana itu kemudiannya memberikan bonus sebanyak satu unit bagi setiap satu unit yang anda miliki (bonus satu-untuk-satu). Selepas itu, anda memiliki 20,000 unit. Tetapi unit tambahan itu tidak menaikkan nilai pelaburan anda kepada RM20,000. Nilainya kekal RM10,000 kerana unit tambahan itu sebenarnya mengurangkan nilai unit anda daripada RM1 kepada RM0.50 (RM10,000 dibahagi dengan 20,000 unit). Begitu juga, jika dana anda mengumumkan dividen sebanyak 5% atau RM0.05, nilai unit anda akan berkurangan daripada RM1 kepada RM0.95 selepas dividen diagihkan. Dividen itu tidak akan menaikkan nilai unit anda kepada RM1.05. Jadi, melabur sebelum bayaran dividen atau bonus diumumkan bukanlah cara untuk mendapat keuntungan segera. Sentiasa berfikir jangka panjang ketika melabur dalam unit amanah.

2. Sentiasa pilih dana yang dahulunya memberikan anda pulangan tinggi.

Tidak benar. Prestasi lalu tidak menggambarkan prestasi masa akan datang. Pelabur tidak harus melihat kepada rekod prestasi lalu untuk meramalkan prospek akan datang. Kaji strategi pelaburan dan pengagihan aset dana tersebut untuk memantapkan keputusan pelaburan anda. Pada umumnya, pengagihan aset mempunyai sumbangan penting kepada pulangan keseluruhan dana.

3. Semua dana unit amanah sama.

Tidak benar. Terdapat pelbagai dana dengan objektif pelaburan yang berbeza-beza. Setiap satu mempunyai ciri-ciri dan elemen risiko yang berbeza. Pelabur MESTI membaca prospektus dana untuk mempelajari dana tersebut dan harus menimbangkan untuk memilih dana yang sejajar dengan keperluan pelaburan dan profil risiko mereka. Anda mungkin melabur dalam dana yang salah jika anda fikir semua dana unit amanah sama.

4. Pulangannya hanyalah dividen.

Tidak benar. Pelabur boleh mengukur prestasi pelaburan mereka dalam unit amanah melalui pelbagai cara. Ini lazimnya meliputi pengiraan untung modal (jumlah selepas harga jualan ditolak harga belian) atau jumlah pengagihan yang diterima daripada dana. Bagaimanapun, kaedah paling berkesan dalam mengukur prestasi ialah dengan memasukkan kedua-duanya sekali. Pengukuran prestasi ini dipanggil pulangan keseluruhan kerana membabitkan semua sumber pendapatan iaitu dividen dan untung modal (atau rugi). Anda boleh membaca post saya sebelum ini mengenai Pengiraan Untung Dalam Unit Amanah Anda juga boleh memuat turun E-BOOK ini.

5. Unit amanah ialah akaun simpanan dan bebas daripada risiko.

Tidak benar. Pelaburan dalam unit amanah tidak sama dengan menyimpan wang anda dalam akaun simpanan. Jika anda melaburkan RM1,000, anda mestilah bersedia menerima hakikat bahawa ada kemungkinan akhirnya wang anda itu berkurangan daripada jumlah yang anda laburkan. Ini kerana pelaburan anda terdedah kepada risiko dan anda mungkin menanggung kerugian disebabkan oleh risiko tersebut. Semua bentuk pelaburan mempunyai tahap risikonya sendiri dan pelabur mestilah bersedia untuk menerima risiko tersebut.

6. Percaya kepada hanya satu syarikat pengurusan sahaja.

Tidak benar. Bukan semua dana daripada syarikat pengurusan yang sama memberikan prestasi atau pulangan yang sama kerana dana tersebut mungkin mempunyai objektif pelaburan yang berbeza-beza dan kerana itu, mempunyai elemen risiko dan pendedahan yang berlainan. Bergantung kepada keadaan pasaran, setiap dana mempunyai prestasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Public Mutual dan siri dana-dana patuh Syariah sila hubungi saya ataupun tinggal pesanan anda diruangan sebelah.

Tel: 018-4749605 Email: adhasaipudin.utc@gmail.com

Thursday, October 14, 2010

Indeks Komposit BSKL Mencecah 1500 Mata

Penutup positif Wall Street rangsang belian pasaran tempatan

HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi semalam didahului oleh keuntungan dalam saham berkaitan perladangan di celah harga minyak sawit mentah yang tinggi, kata peniaga. Pada jam 5 petang, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur naik 10.40 mata atau 0.70 peratus kepada 1,496.97. Ia dibuka lebih tinggi sebanyak 2.99 mata kepada 1,489.56.

Peniaga berkata, penutup positif di Wall Street semalaman berserta pasaran serantau utama yang kukuh berjaya merangsangkan minat belian di pasaran tempatan. Mereka berkata, belian berterusan dalam saham mewah terpilih membantu indeks utama kekal positif dalam zon positif di sepanjang hari. "Pelabur terus mendapatkan saham perladangan kerana mereka yakin dengan pendapatan syarikat berkaitan perladangan berikutan harga MSM yang lebih tinggi," katanya. Indeks Perladangan melonjak 153.46 mata kepada 7,261.06, Indeks Kewangan menambah 58.47 mata kepada 13,520.22 dan Indeks Perusahaan lebih tinggi 16.98 mata kepada 2,869.06. Indeks FBM Emas menambah 81.19 mata kepada 10,069.28, Indeks FBM70 mengukuh 103.45 mata kepada 10,081.31 dan Indeks FBM Ace mengembang 68.40 mata kepada 4,155.61.

Jumlah dagangan lebih tinggi kepada 1.20 bilion saham bernilai RM2.03 bilion daripada 1.17 bilion saham bernilai RM1.90 bilion kelmarin. Saham untung mengatasi saham rugi dengan 577 berbalas 235 sementara 256 kaunter tidak berubah dan 27 yang lain digantung urus niaga. OSK Research berkata, sentimen pasaran bertambah baik dan yakin dengan tinjauan jangka terdekat. "Kami menjangka pasaran akan diniagakan tinggi menjelang pengumuman bajet," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mendahului saham paling aktif ialah JCY International yang meningkat 15 sen kepada RM1.10, diikuti dengan Malton yang naik lima sen kepada 69 sen dan Ho Wah Genting yang menokok dua sen kepada 28.5 sen. Di kalangan saham mewah, Maybank mengembang satu sen kepada RM9.01, Sime Darby meningkat sembilan sen kepada RM8.85 sementara CIMB Group susut tiga sen kepada RM8.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengukuh kepada 976.41 juta saham bernilai RM1.98 bilion daripada 917.78 juta saham bernilai RM1.84 bilion kelmarin. Jumlah dagangan di Pasaran Ace, bagaimanapun, berkurangan kepada 77.95 juta saham bernilai RM22.02 juta daripada 95.79 juta saham bernilai RM26.12 juta. Jumlah dagangan waran juga lebih rendah kepada 137.49 juta saham bernilai RM25.73 juta berbanding 145.58 juta unit bernilai RM26.95 juta kelmarin.

Produk pengguna menguasai 49.16 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian 158.52 juta, pembinaan 89.17 juta, urus niaga dan perkhidmatan 239.56 juta, teknologi 68.12 juta, infrastruktur 14.77 juta, kewangan 95.14 juta, perhotelan 1.10 juta, hartanah 195.86 juta, perladangan 58.06 juta, perlombongan 55,000, REIT 6.86 juta dan dana tertutup sebanyak 24,500. – BERNAMA

Ulasan Saya : Nampaknya ekonomi Malaysia dah semakin kukuh. Sehingga saat ini Indeks Komposit BSKL dah mencecah 1500 mata iaitu berada paras yang tertinggi semenjak 3 tahun lalu. Mungkin akan terus naik sehingga penghujung tahun 2010. Ini satu petanda pelabur-pelabur saya akan mendapat 'Durian Runtuh' tak lama lagi........ Bagi sesiapa yang masih belum memulakan pelaburan, TUNGGU APA LAGI!!!! Penganalisa ekonomi menyatakan ekonomi Malaysia akan berkembang sehingga tahun 2013. So ada lebih kurang 3 tahun lagi untuk kita kaut keuntungan......

Jika ada sebarang pertanyaan sila hubungi saya di sini

Tuesday, October 12, 2010

Belian Balik Unit Amanah

Perkara perlu ditimbangkan ketika membeli balik saham amanah

“Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek, satu kesilapan yang dilakukan oleh para pelabur”

Banyak nasihat mengenai mengapa dan bila kita patut membeli saham amanah. Bagaimanapun dalam soal berhubung belian balik pula, untuk mendapat masa yang tepat dan sebab yang wajar untuk membuat demikian ternyata adalah satu tugas yang sukar. Saham amanah adalah instrumen yang terbaik bagi individu dan perancang kewangan korporat disebabkan harganya yang termampu, kecairan dan ia fleksibel. Bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang, saham amanah sememangnya pilihan yang menarik. Jika dipilih dengan dengan berhati-hati dan disokong dengan nasihat daripada pakar yang layak, saham amanah boleh memberikan anda pulangan yang lumayan pada paras risiko yang dapat diterima.

Bagaimanapun seperti mana-mana saham amanah lain, kita perlu mengikuti garis panduan tertentu yang wajar mengenai bila hendak memegang dan bila hendak melepaskannya. Nasihat yang paling biasa ialah bermula melabur dengan awal serta memberikan pelaburan anda masa yang mencukupi untuk mengaut keuntungan pulangannya. Tetapi bagaimana jika pasaran yang meruap menyebabkan anda mempertimbangkan untuk menukar dana ekuiti anda kepada dana bon dan pasaran wang? Keputusan yang anda buat bergantung kepada keadaan portfolio pelaburan, matlamat kewangan dan toleransi risiko anda. Bagaimanapun adalah penting untuk memastikan dulu sebab yang bijak dan kewajaran untuk berbuat demikian.

Berikut adalah antara isu-isu yang patut diambil kira apabila membuat keputusan untuk membuat belian balik pelaburan unit amanah.

· Prestasi Dana

Sebab paling biasa untuk membuat belian balik saham amanah ialah apabila dana merekodkan kerugian bagi pelabur. Namun begitu ramai palabur membuat kesilapan membuat belian balik disebabkan oleh prestasi buruk yang dicatatkan dalam jangka pendek. Kemeruapan wujud dalam pasaran dan menilai prestasi dana dalam jangka pendek adalah satu kesilapan kerana pelabur saham amanah dikehendaki mengambil pandangan berjangka sederhana hingga panjang untuk mengaut potensi sepenuhnya pelaburan mereka.

Jika prestasi dana anda terjejas oleh keadaan pasaran yang buruk, anda hendaklah tetap berfokus kepada prospek jangka panjang pelaburan anda dan menghindari daripada godaan untuk berasa cemas. Seorang pengurus dana telah berkata “Pelabur saham amanah patut sentiasa fokus kepada mencapai matlamat pelaburan mereka dalam tempoh sederhana hingga panjang, iaitu selama tiga hingga lima tahun dan bukannya bimbang mengenai pergerakan harian, mingguan atau bulanan pelaburan mereka.”

· Penyimpangan dalam Gaya atau Objektif Dana

Setelah membuat peruntukan aset yang terperinci secara berhati-hati, pelabur patut memilih dana yang paling sesuai dengan strategi mereka dengan mengambil kira objektif pulangan, jangka masa dan toleransi risiko. Membuat pilihan dana yang betul adalah penting kerana jika anda mengambil dana yang risikonya lebih banyak daripada yang apa yang mampu anda tanggung, anda mungkin terpaksa membuat belian balik dana dan membeli dana yang lebih sesuai

Selain itu jika dana menyimpang daripada objektif pelaburan atau gaya pelaburan asalnya, maka perubahan tersebut sudah pasti akan menjejaskan pelan peruntukan aset anda dan perlu dikaji semula. Dana yang mengubah objektif pelaburannya dengan ketara boleh menyebabkan prestasinya menyimpang daripada objektif dan risiko profil yang anda ingini. Justeru adalah penting untuk mengingati sebab asal anda membeli sesuatu dana itu.

Perubahan pengurus dana juga boleh menjadi sebab kepada perubahan gaya pelaburan. Bagaimanapun ia tidak memerlukan anda terus menjualnya. Sebaliknya apa yang lebih penting ialah memastikan pengurus dana yang baru itu mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menguruskan dana dengan objektif yang sama dan mengekalkan gaya pengurusan yang sama. Dana yang diuruskan oleh pasukan pengurusan yang stabil dan reputasi baik selalunya akan mematuhi objektif dan gaya pelaburannya.

· Sekiranya berlaku kecemasan

Oleh sebab saham amanah mudah dijual, pemegang unit boleh membuat belian balik kesemua atau sebahagian daripada unit mereka pada bila-bila masa hari perniagaan dan pengurus saham amanah akan membelinya.

Ini bermakna sekiranya anda memerlukan wang, anda boleh menjual pelaburan anda dengan mudah. Kebanyakan saham amanah akan membenarkan anda menebus pelaburan anda pada sebarang hari perniagaan yang ditetapkan. Bagaimanapun adalah penting untuk mencari alternatif lain kerana menebus dana boleh menyebabkan anda mengalami kerugian dalam jangka panjang – anda kehilangan manfaat pemurataan kos ringgit serta faedah atas pokok dan faedah terkumpul.

Bagi mereka yang benar-benar perlu menjual pelaburan mereka, pertimbangkan 'kaedah kos purata' yang berupa menjual secara berperingkat-peringkat. Pelabur yang keluar dari aset tertentu kemudiannya boleh perlahan-lahan beralih kepada tunai sebagai persediaan awal bagi menghadapi komitmen kewangan, misalnya perbelanjaan pendidikan. Pokok pangkalnya ialah jika anda bercadang untuk membuat belian balik dana anda, pertimbangkan dulu sebabnya dan pastikan ia berdasarkan pertimbangan yang bijak. Mengimbangkan semula portfolio anda berdasarkan keperluan atau situasi anda yang berubah sudah tentulah patut dibuat denngan kerap sekurang-kurangnya setahun sekali.

Jika anda merancang untuk membuat belian balik hanya kerana hendak bertukar kepada dana lain atau kerana bimbangkan keadaan pasaran, kawal dorongan hati anda dan ingat prinsip strategi peruntukan aset yang sesuai. Dana yang dipilih dengan bijak yang cukup pelbagai akan menolong anda mencapai matlamat pelaburan jangka panjang anda.

Untuk maklumat lanjut mengenai Public Mutual dan siri dana-dana patuh Syariah sila hubungi saya ataupun tinggal pesanan anda diruangan sebelah.
Tel: 018-4749605
Email:adhasaipudin.utc@gmail.com

Link Exchange

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...